Tuesday, December 6, 2011

APAKAH PERLU KITA BERMAZHAB?


 
Oleh : alfaqir tengku mohamad fouzy

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيد المرسلين حبيبنا و قرة اعيننا سيدنا محمد
و على آله و أصحابه و من تبعه إلى يوم الدين

Alhamdulillah segala pujian khusus untuk Allah swt, Selawat dan Salam atas penghulu utusan Allah, kekasih kami dan penyejuk mata kami, junjungan kami Rasulullah dan sekalian ahli keluarganya dan para sahabatnya dan sekelian mereka yang mengikutinya hingga ka hari kiamat.
Manusia di jadikan Allah swt untuk beriman dan beribadah kepadaNYA.

Sepertimana firman Allah swt dalam surah Azzariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Untuk memastikan manusia beriman dan melakukan ibadah diatas jalan yang betul sepertimana yang dikehendakiNYA, maka Allah swt telah mengutus para Nabi dan Rasul alaihimis solatu wasalam, untuk memimpin dan mengajar manusia cara yang sebenarnya bagaimana yang di katakan aqidah dan ibadah yang di kehendaki Allah swt secara zahir dan batin.

Demikianlah yang Allah swt telah firmankan dalam surah AlBaqarah ayat 151:

كَمَآ أَرۡسَلۡنَا فِيڪُمۡ رَسُولاً مِّنڪُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡكُمۡ ءَايَـٰتِنَا وَيُزَكِّيڪُمۡ وَيُعَلِّمُڪُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِڪۡمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمۡ تَكُونُواْ تَعۡلَمُونَ
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.

Begitulah ummat yang dipimpin Rasulullah saw telah mengikuti baginda dalam sekelian perkara Aqidah, Ibadah dan Akhlaq zahir dan Batin. Demikian pula amanah Nabi saw ini telah dipikul oleh ulama’ dari para sahabat dan tabiin yang merupakan sebagai pewaris Nabi saw, tanpa ada yang mengingkarinya. Kerana mereka menyedari bagaimana peri pentingnya amalan itu agar di terima oleh Allah swt, maka hendaklah orang yang memimpin itu hendaklah benar-benar orang yang arif dengan apa yang telah di sampaikan oleh Nabi saw.

Namun diakhir-akihr ini timbul satu fahaman yang kononnya kita mesti memastikan amalan kita dari segi Aqidah dan Ibadah kita benar benar tulin dari Rasulullah saw, maka hendaklah kita ambil langsung dari Sunnah Rasulullah saw dan Al Quran yang merupakan wahyu Allah swt.

Maka timbullah persoalan “APAKAH PERLU KITA BERMAZHAB?”, sehingga menyebabkan ummat Islam menjadi bingung dan bercelaru dalam Aqidah dan Ibadah mereka. Sehingga ada yang mengatakan “MARILAH KEMBALI KEPADA AL QURAN DAN AS SUNNAH, TIDAK PERLU KITA BERPEGANG KEPADA MAZHAB ULAMA’. KERANA AL QURAN DAN AS SUNNAH ADALAH DASAR KITA UMMAT ISLAM YANG TAK MUNGKIN SILAP, MANAKALA, ULAMA’ ADALAH MANUSIA YANG TIDAK SUNYI DARI KESILAPAN.”

PERPECAHAN UMMAT ISLAM memang tidak dapat di nafikan lagi. Rasulullah saw sendiri telah bersabda:

إِنِّ بَنِى اِسْرَآئِيْلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً تَفْتَرِقُ اُمَّتِى عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً كَُلُّهُمْ فِىْ النَّارِ اِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً قَالُوا: وَ مَنْ هِيَ يَارَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِى،

Ertinya: “Bahawa Bani Israil telah berpecah kepada 72 millah (golongan) dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan, semuanya masuk neraka kecuali satu”. Sahabat-sahabat yang mendengar ucapan ini bertanya: “Siapakah yang satu itu Ya Rasulullah?” Nabi saw menjawab: “Yang satu itu ialah orang yang berpegang (beri’tiqad) sebagai penganganku (I’tiqadku) dan pegangan sahabat-sahabatku” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, lihat Sahih Tarmizi juz X, halaman 109)

وَالَّذِى نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقُ اُمَّتِى عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً فَوَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ قِيْلَ: مَنْ هُمْ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: اَهْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ، رواه الطبرانى

Ertinya: “Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad ditanganNya, akan berpecah umatku sebanyak 73 golongan; yang satu masuk syurga dan yang lain masuk neraka”.
Bertanya para sahabat: “Siapakah golongan (yang selamat) itu Ya Rasulullah?”
Nabi saw menjawab: “Ahlus Sunnah wal Jamaah”. (Hadis riwayat Imam Thabrani)

Alhamdulillah Allah swt telah menyelamatkan ummat ini dengan melahirkan Ulama’-Ulama’ yang menghabisi umur mereka untuk Agama Allah. Seolah-olah mereka dilahirkan kedunia hanya semata-mata untuk tugas ini. Maka dengan itu telah terkenal bahawa GOLONGAN YANG TELAH MENGIKUT JALAN YANG SELAMAT, ialah golongan AHLUS SUNNAH WAL JEMAAH.

TANDA MENGENAL AHLUS SUNNAH WAL JEMAAH / GOLONGAN YANG SELAMAT ada dua:

PERTAMA: Pegangan mereka bukan sesuatu yang baru, bahkan dari zaman sahabat hingga ke akhir zaman. Telah benarlah apa yang telah disabdakan oleh Nabi saw:

لاَ تَزَالُ طَاءِفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ ظَاهِِرِيْنَ حَتَّى يَاْتِيَهُمْ أَمْرُ اللّهِ وَ هُمْ ظَاهِرُوْنَ

Akan ada segolongan dari ummatku yang tetap atas kebenaran sampai hari kiamat dan mereka tetap atas kebenaran.” (Hadith Sohih Riwayat Bukhari dan Muslim,rujuk Fathul Bari juz 13, ms 379)

Cubalah kita lihat dari dahulu semenjak zaman sahabat perundangan Syariat Islam berlanjutan dari satu generasi kepada yang berikutnya. Sehinggalah terbukunya perundangan Islam dengan sempurna dan terus menjadi pegangan ummat hingga hari ini dalam Mazhab-mazhab FIQAH dan AQIDAH AHLUS SUNNAH WAL JEMAAH.

KEDUA: Ummat yang memegang AHLUS SUNNAH WAL JEMAAH ini adalah merupakan jumlah ummat yang terbesar. Begitulah kita akan dapati dari timur Negara Nusantara hingga ke barat benua Afrika. Ahlus Sunnah Wal Jemaah dengan mazhab mazhabnya, menjadi pegangan kebanyakan ummat Islam. Demikianlah yang telah di perintahkan oleh Nabi saw:

عَلَيْكُمْ بِالسَّوَادِ الأَعْظَم
"Hendaklah kamu beserta dengan golongan yang terbesar."

Namun untuk melihat sejauh mana perlunya kita bemazhab atau tidak, maka, hamba yang faqir lagi penuh dengan kelemahan dengan izin Allah swt dan berkat syafa’at Nabi saw, akan cuba sedaya upaya , InsyaAllah. Maka bahasan ringkas ini akan saya bahagikan kepada beberapa tajuk kecil:

Pertama: Sejarah perundangan Islam di zaman Nabi saw.
Kedua: Sejarah permulaan Mazhab.
Ketiga: IJTIHAD dan syarat-syaratnya
Keempat: Hukum BerMazhab dan dalil-dalilnya
Kelima: Kekeliruan sekitar masalah bermazhab dan penjelasannya
Keenam: Nama-nama Ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jemaah yang BERMAZHAB SYAFIE/ASYA’IRAH

BAHASAN PERTAMA: SEJARAH PERUNDANGAN ISLAM DI ZAMAN NABI saw

Sebagaimana sedia maklum bahawa Allah swt Dialah Tuhan yang berhak menghukum (Syari’), manakala Rasulullah saw sebagai Utusan Allah swt menerangkan apa yang di kehendaki Allah swt.

Maka semua petunjuk dan hukum Syariat akan datang dari Rasulullah saw, maupun dengan turunnya wahyu Allah swt atau penerangan dari Rasullullah saw. Ini sesuatu yang tidak di perselisihkan lagi. Dengan sebab itu para sahabat r.a., apabila menghadapi masalah yang perlu di minta penjelasan, maka mereka akan bertanya langsung dengan Rasulullah saw.

Jika sahabat sahabat itu berada diluar dari kota Madinah Munawwarah, dan mereka perlu bertindak dengan masalah yang mereka hadapi, nescaya mereka akan berijtihad, mengeluarkan hukum, kemudian mereka akan rujuk kepada Rasulullah saw setelah mereka pulang ke Madinah. Seperti kisah sahabat yang bernama Ammar bin Yasir ra, yang bergelimang atas tanah untuk menggantikan mandi hadath besar ketika ketiadaan air sebagai qiyas kepada tayammum untuk berwudhu’ ketika ketiadaan air. Maka apabila beliau pulang ke Madinah, ditanyakan perkara itu kepada Nabi saw. Dan Baginda saw menjawab “cukuplah bagi engkau wahai ‘Ammar seperti ini” dan Baginda pun menepuk tangannya yang mulia ketanah sebagai tayammum.

Maka tidak timbul persoalan MAZHAB dimasa hidup Rasulullah saw. Kerana bagindalah yang akan menentukan sesuatu hukum.

BAHASAN KEDUA: SEJARAH PERMULAAN MAZHAB

MAKNA MAZHAB ialah TEMPAT PERGI,

PADA ISTILAH, MAZHAB ialah SUATU ALIRAN PEGANGAN SESEORANG MUJTAHID.

Mazhab dalam bidang Aqidah, Fiqah dan Tasawuf. Banyak orang tersilap faham dengan menyangka MAZHAB itu timbul dari IMAM yang empat Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Namun sebenarnya SEJARAH MAZHAB telah bermula dari zaman Sahabat sahabat selepas kewafatan Rasulullah saw.

Kita hendaklah mengingati bahawa jumlah para sahabat sewaktu kewafatan Rasulullah saw sebanyak 124,000 sahabat. Tidak kesemua mereka diatas satu peringkat keilmuan dalam memahami ajaran Syariat yang telah di bawa oleh Rasulullah saw. Ini sudah setentunya, kerana tidak semua manusia yang dijadikan Allah swt sama pemahamannya dan ingatannya. Demikian juga ada yang memeluk agama Islam dari awal Islam berkembang di Makkah AlMukarramah, dan ada pula di saat-saat terakhir sewaktu di Madinah , sudah tentu ada sahabat yang ilmunya dan kefahamannya lebih lengkap dari yang lain. Demikianlah Sunnatullah dan Hikmah Allah swt terhadap hamba-hambaNya.

Maka sahabat-sahabat yang lebih arif dengan Al Quran dan As Sunnah menjadi tempat rujukan dan pertanyaan sahabat sahabat yang kurang arif dalam sesuatu permasaalahan agama. Sejarah telah mencatitkan bahawa antara sahabat-sahabat itu yang banyak mengeluarkan fatwa dan ada yang sedikit mengeluarkan fatwa. Dan ada sahabat memadai dengan menjadi orang awam, cukup dengan apa yang difatwakan oleh Ulama’ yang ada.

SAHABAT SAHABAT YANG MUJTAHID YANG BANYAK MENGELUARKAN FATWA, ada tujuh sahabat:
1- Saiyidina Umar Bin Khattab r.a., Khalifah Islam yang kedua.
2- Saiyidina Ali Bin Abi Talib r.a., menantu Rasulullah saw dan Khalifah Islam yang keempat.
3- Saiyidina Abdullah Bin Mas’ud r.a.
4- Saiyidatina Aisyah r.a., Ummul mukminin.
5- Saiyidina Zaid Bin Thabit r.a. yang ditugaskan untuk mengumpulkan Al Quran.
6- Saiyidina Abdullah Bin Abbas r.a. sepupu Rasulullah saw.
7- Saiyidina Abdullah Bin Umar r.a.

SAHABAT SAHABAT YANG MUJTAHID YANG SEDERHANA MENGELU ARKAN FATWA, antaranya:
1- Saiyidina Abu Bakar As Siddique r.a., khalifah Islam yang pertama.
2- Saiyidina Uthman Bin Affan r.a., menantu Rasulullah saw, dan Khalifah Islam yang ketiga.
3- Saiyidina Anas Bin Malik r.a. khadam Rasulullah saw.
4- Saiyidina Abu Hurairah r.a., perawi hadith yang paling banyak.
5- Saiyidatina Ummu Salamah r.a., Ummul Mukminin
6- Saiyidina Mu’az Bin Jabal r.a., dan lain lain lagi.

Maka mereka yang berpegang kepada salah satu fatwa dari salah satu sahabat-sahabat tersebut, maka mereka dinamakan mengikut mazhab sahabat tersebut. Seperti yang masyhur MAZHAB IBNU ABBAS r.a. di Makkah dan Taif, MAZHAB IBNU UMAR r.a. di Madinah , dan MAZHAB ABDULLAH IBNU MAS’UD r.a. di Iraq dan sebagainya.

Demikianlah juga pada zaman Tabiin, orang yang bertemu dengan sahabat, memeliki ilmu agama yang sama tinggi. Bahkan ada Tabiin yang telah mencapai darjat MUJTAHID, dan ada pula hanya sekadar rakyat biasa sahaja.

Maka para Tabiin yang telah mencapai darjat MUJTAHID, menjadi tempat rujukan di kalangan masyarakat yang ada di sekeliling mereka, sepertimana yang berlaku pada zaman sahabat r.a.

Hanya sahaja dizaman Tabiin ilmu Islam banyak tertumpu di IRAQ dan HEJAZ. (Makkah, Madinah & Taif)

ULAMA’ MUJTAHID TABIIN DI IRAQ seperti:
1- Al Qamah Bin Qais An Nakha’i
2- Masruq Bin Al Ajda’ Al Hamdani,
3- Ibrahim Bin Zaid An Nakha’i,
4- Sa’id Bin Jubair

ULAMA’ MUJTAHID TABIIN DI HEJAZ, seperti:
1- Sa’id Bin Musayyab Al Makhzumi,
2- ‘Urwah Bin Zubair, cucu Saiyidina Abu Bakar AsSiddique r.a.,
3- Salim Bin Abdullah Bin Umar, cucu Saiyidina Umar Bin Khattab r.a.,
4- Sulaiman Bin Yasar,
5- Nafi’ Maula Abdullah Bin Umar

Maka timbullah seperti zaman sahabat, apa yang dikatakan Mazhab Ulama’-ulama’ Tabiian

Sehingga lahirlah Ulama’-ulama’ yang terserlah ilmu mereka dan keluasan pencakupan bahasan mereka dan termaktub sekelian panduan dan fatwa mereka seperti yang kita sedia maklum IMAM MAZHAB YANG EMPAT:
Kitab Besar Imam Syafie Al Um
1- IMAM ABU HANIFAH (81-150H)
2- IMAM MALIK BIN ANAS (93-179H)
3- IMAM SYAFIE (150-204H)
4- IMAM AHMAD BIN HANBAL (162-241H)
Sebenarnya banyak lagi para Ulama’ yang hebat pada masa tersebut seperti Imam Al Laith, Imam Athauri, Imam Auza’i dan lain lain . Hanya Mazhab mereka itu tidak berkembang kerana antaranya fatwa-fatwa mereka tidak tercatit, atau kupasan bahasan mazhab mereka tidak mencakupi sekelian aspek Fiqah yang menjadi keperluan orang ramai, atau tidak ada pengikutnya yang meneruskan dan mengembangkan mazhab Imam mereka. Lantaran itu mazhab-mazhab Imam selain yang empat itu terkubur begitu sahaja.

Demikian pula Mazhab AHLUS SUNNAH WAL JEMAAH bukan hanya dalam permasalahan FIQH. Maka dalam bidang AQIDAH/TAUHID, Ulama’ Mujtahid yang menjadi ikutan mazhabnya ialah DUA sahaja:
1- IMAM ABU HASAN ALASY’ARI (260-324H)
2- IMAM ABU MANSUR ALMATURIDIYAH (wafat 333 H)
Maka dari sejarah ringkas ini, kita dapati timbulnya mazhab ini dizaman ummat Islam masih dekat dengan zaman Nubuwwah, dan berlaku dari kalangan orang orang yang telah di jamin Rasulullah saw sebagai orang-orang yang terbaik dari kalangan ummatnya, seperti apa yang telah di sabdakan:

خَيْرُ الْقُرُوْنِ قَرْنِىْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ

Sebaik baik kurun ialah kurunku, kemudian yang mengikutinya dan kemudian yang mengikutinya.
(Hadith riwat Bukhari & Muslim)

Dari Hadith ini memang tepatlah sekali apa yang di sabdakan oleh Rasulullah saw. Kerana telah terbukti bahawa dari 1430 tahun yang telah berlalu dalam sejarah ummat Islam, para cendiakawan ummat Islam yang menguasai berbagai-bagai bidang ilmu seperti ilmu Tafsir AlQuran, pengumpulan Hadith dan pengenalan Rawi-rawi Hadith, ilmu Fiqah, Bahasa Arab dan Ilmu Fardhu Kifayah seperti astronomy, sains, kedoktoran dan lainlain lagi .

Kenapakah tidak setiap sahabat yang telah bertemu dengan Rasulullah saw, boleh sahaja ISTIMBATH (MENGAMBIL) hukum dari Alquran dan Sunnah Rasulullah saw. Demikian juga para Tabiin yang pernah bertemu dengan para sahabat. Sedangkan mereka itu semuanya orang orang yang bertutur bahasa Arab dan kuat iman dan taqwanya. Tetapi kenapa pula sebahagian besar dari mereka merujuk kepada segelintir dari kalangan mereka yang amat alim lagi arif dalam bidang Syariah?

Ini jelas menunjukkan mereka sedar bukan mudah untuk menjadi ULAMA’ MUJTAHIDIN yang cukup syarat-syaratnya untuk berIJTIHAD dan ISTIMBATH HUKUM dari sumber Al Quran dan As Sunnah, bukan sekadar berbahasa Arab sahaja.

BAHASAN KETIGA: IJTIHAD

IJTIHAD dari segi bahasa bererti : Berusaha dengan sepenuhnya dalam melakukan sesuatu perkerjaan.

IJTIHAD dari segi istilah ialah BERUSAHA dengan sepenuh gigihnya seseorang Faqih (‘Alim Fiqah) untuk mendapatkan DZHAN (sangkaan kuat) dengan sesuatu hukum Syara’.

SYARAT-SYARAT IJTIHAD
Syarat-syarat IJTIHAD itu banyak , antaranya:
  1. Beragama ISLAM
  2. Berakal yang sempurna
  3. Baligh
  4. Keadilan, tidak fasiq yaitu tidak melakukan dosa besar dan tidak pula berterusan dengan dosa kecil
  5. Fiqh Nafs, iaitu kebijaksanaan diri. Dapat memahami dari nas-nas yang di ambil. Ianya suatu kurniaan Allah yang bukan boleh di pelajari atau dengan menghafal kitab.
  6. Menguasai Al Quran dan sekalian ilmu yang bersangkut-paut dengan nya. Seperti :
    1. Nasikh dan Mansukh
    2. Am dan Khas
    3. Mutlaq dan Muqayyad
    4. Asbabun Nuzul
    5. dll
  7. Menguasai Hadith-Hadith dengan sekelian ilmu yang bersangkut-paut degannya, seperti yang tersebut dalam perkara Al Quran. Ditambah lagi dengan mengenali:
    1. Hadith-Hadith Mutawatir dan Ahad
    2. Sohih dan Dhaif
    3. Tarikh dan Rijal Hadith
    4. Asbabu wurudul Hadith
    5. Jarhu wa Ta’dil
    6. Ertinya Mujtahid itu mengenal dengan usahanya sendiri akan setiap dari Rawi yang meriwayatkan Hadith itu, orang yang Adil boleh di percayai, atau yang cacat yang di tolak riwayatnya. Kalau ianya memada dengan apa yang dikatakan oleh Imam Bukhari atau Muslim, ertinya dia BERTAQLID kepada Imam-imam itu, dan namanya MUQALLID BUKAN MUJTAHID.
  8. Menguasai BAHASA ARAB dengan sekelian cabang cabangnya dari ilmu
    1. Nahu Saraf
    2. Balaghah
    3. Mantiq
    4. Badi’
    5. Isti’arah
    6. Dll
  9. Mengenal Masalah-masalah IJMA’. Agar tidak dia berijtihad pada perkara yang telah di ijma’kan oleh Ulama’.
  10. Mengenal Mazhab-mazhab Ulama’ dan masalah-masalah khilaf, agar tidak dia membesar-besarkan isu-isu yang sudah di ijtihadkan oleh Ulama’, seperti MASALAH BATAL WUDHU’ DENGAN SENTUH KULIT LELAKI DAN WANITA.
  11. Menguasai ILMU USUL FIQH
  12. Sifat Taqwa dan Wara’
Maka mereka yang telah memenuhi akan syarat-syarat ini , dinamakan ianya seorang MUJTAHID, yang boleh mengeluarkan hukum dari sumber-sumber Syariat yang empat:
  1. Al Quran
  2. As Sunnah
  3. Ijma’ dan
  4. Qiyas
Namun MUJTAHID itu ada beberapa pembahagiannya, seperti berikut.

PEMBAHAGIAN MUJTAHID

1- MUJTAHID MUTLAQ, ialah sesaorang yang telah memenuhi sekelian syarat-syarat IJTIHAD yang tersebut dan dia tersendiri berijtihad pada sekalian usul, furu’ dan Istinbat (mengeluarkan hukum) dari dalil-dali Al QURAN dan HADITH. Dia berdiri dengan sendirinya dalam mensahihkan Hadith atau mendhaifkannya, dan melakukan Tarjih antara dalil-dalil tersebut. Demikian juga dia tidak bertaqlid (mengikut) sesiapa dalam menghukumkan seseorang Rawi itu Adil atau Cacat. Demikian juga dia meletakkan asas umum untuk IJTIHADnya dan QA’IDAHnya tanpa bersandar atau bertaqlid kepada sesiapa.

Mereka yang telah mencapai darjat MUJTAHID MUTLAK seumpama Imam-Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad, Thauri, Auza’i dan selain mereka

2- MUJTAHID MUNTASIB, ialah sesaorang yang telah sampai darjat MUJTAHID MUTLAQ dengan mengambil hukum dari QURAN dan HADITH. Hanya dia belum sampai kepada darjat yang sempurna dalam meletakkan asas-usul yang khusus untuk ijtihadnya. Maka dia pun mengeluarkan hukum mengikut usul Imam yang dia ikuti seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad.

Maka mereka ini tidak berTAQLID kepada Imam-imam mereka, tidak pada mazhab, dan tidak pula pada dalilnya, hanya ianya di sandarkan kepada Imamnya kerana dia mengikut cara (kaedah) Imamnya berijtihad.

Maka oleh yang demikian itu mereka di namakan MUJTAHID MUNTASIB iaitu MUJTAHID YANG DISANDARKAN kepada imam mereka. Maka mereka masih di hitung pengikut mazhab. Diantara ulama’ Mujtahid Muntasib dalam Mazhab Syafie ialah Imam-imam: Muzani, Abu Thur, Ibnul Munzir, Ibnu Jarir At Thabrani dan Mohamad Ibnu Khuzaimah.

3- MUJTAHID MAZHAB, ialah seseorang yang belum sampai kepada darjat Mujtahid Mutlaq atau Mujtahid Muntasib. Namun kemampuan ilmunya itu telah membolehkan dia mengeluarkan hukum yang belum di sebutkan oleh Imamnya , tetapi ianya terikat dengan usul, kaedah, panduan yang telah di asaskan oleh Imamnya. Pendapat Mujtahid Mazhab ini di sebutkan sebagai AUJUH, disisi ulama’ Mazhab Syafie.

Diantara mereka yang pernah bersama dengan Imam Syafie seperti Imam Buwaithi, Yunus, Rabi’ dan selain mereka. Dan di antara mereka yang tidak pernah bersama Imam Syafie seperti Imam Al Juwaini, Abu Taib At Thabarani, Al Qadhi Husin, dan selain mereka.

4- MUJTAHID FATWA dan TARJIH, ialah seseorang yang belum sampai darjat Mujtahid Mazhab, tetapi telah mengusai ilmu yang luas dalam Mazhab Imamnya, dan arif dengan sekelian dalil Imamnya, maka ia mampu untuk mengukuhkan dalil tersebut dan mentarjihkan (menguatkan) manakah diantara pendapat-pendapat yang kuat dalam mazhab Imamnya. Diantara mereka ialah Imam Nawawi dan Imam Rafie dari Mazhab Syafie.

BAHASAN KEEMPAT: HUKUM BERMAZHAB

Hanya terbahagi kepada DUA BAHAGIAN SAHAJA:

PERTAMA: TIDAK WAJIB, jika ianya MUJTAHID MUTLAQ
KEDUA: WAJIB, jika ianya bukan MUJTAHID MUTLAQ. Maka ianya dinamakan BERTAQLID atau MUQALLID

DALIL DALIL WAJIB BERMAZHAB

DALIL ALQURAN:
1-Surah Azzumar ayat 9:

قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ

“Katakanlah: Apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”

Sudah setentunya tidak sama dari nisbah ilmu, maka tidak sama seseorang yang ilmunya sudah sampai kepada tahap ULAMA’ MUJTAHIDIN dengan orang yang MUQALLID. Demikian juga Allah swt menegaskan perbezaan Darjat di antara mereka.

2-Surah Al Mujadalah ayat 11:

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ

Allah mengangkat (darjat) orang yang beriman diantara kamu dan ( di angkat) orang orang yang di beri ilmu beberapa Darjat.

3-Surah An Nahl ayat 43:

فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Maka tanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui

Maka bukan sekadar bertanya kepada yang lebih alim, bahkan Allah mewajibkan kita mentaati mereka, seperti firman Allah swt yang berikut:

4-Surah An Nisa’ ayat 59

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ

Wahai orang orang yang beriman TAAT LAH kepada ALLAH dan TAAT lah kepada RASUL dan ULIL AMRI dari kalangan kamu.

Sebahagian Ahli Mufassirin seperti Ibnu Abbas, Jabir Bin Abdullah, Mujahid, Hasan, ‘Atha’ dan sekumpulan sahabat-sahabat Nabi saw telah bersepakat bahawa yang di maksudkan dengan ULIL AMRI ialah para ULAMA’ SYARI’AH yang telah mampu mengeluarkan hukum dari dasar AL QURAN dan AS SUNNAH. Ini di tunjukkan oleh Allah swt dalam firmanNya:

5-Surah An Nisa’ ayat 83:

وَلَوۡ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنۡہُمۡ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسۡتَنۢبِطُونَهُ ۥ مِنۡہُمۡۗ
Andaikata kalau mereka (mukminin) memulangkan perkara itu (yang di perselisihkan) kepada RASUL dan kepada ULIL AMRI dari kalangan mereka, nescaya akan mengetahui akan nya (hurainnya) oleh mereka (ULIL AMRI) yang ISTINBATH (mengeluarkan hukum dari sumber syari’at) dari kalangan mereka.

Jelas dari ayat ini kita disuruh mengembalikan permasalahan yang di perselisihkan kepada ahlinya, iaitulah para ULAMA’ MUJTAHIDIN.

DALIL HADITH
1- Hadith Muaz bin Jabal ra.

عَنْ مُعَاذِبْنِ جَبَلٍ، أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ قَالَ: كَيْفَ تَقْضِى إِذَا عَرَضَ لَكَ قَضَاءٌ؟ قَالَ: أَقْضِى بِكِتَابِ اللهِ، قَالَى:فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فيِْ كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ، قَالَ: فِإِنْ لَمْ تَجِدْ فِىِ سُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ وِلاَ فِىْ كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيىِ وَلاَآئُوْ، فَضَرَبَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدْرَهُ وَقَالَ: اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى وَفَّقَ رَسُوْلَ رَسُوْلِ اللهِ لِمَا يَرْضَى رَسُوْلُ اللهِ
(رواه أبو داود والترمزي)

Ertinya
Dari Mu’az Bin Jabal, bahawa Rasulullah saw pada ketika mengutusnya ke Yaman bertanya kepadanya: “Bagaimana caranya engkau memutuskan perkara yang dibawa ke hadapanmu?”
Jawab Muaz: “Saya akan memutuskan menurut yang tersebut dalam Kitabullah”
Nabi bertanya lagi: “Kalau engkau tak menemukan hal itu dalam Kitab Allah , bagaimana?”
Jawab Muaz: “Saya akan memutuskan menurut Sunnah Rasul”.
Nabi bertanya lagi: “Jika kamu tidak menemui hal itu dalam Kitab Allah dan tidak dalam Sunnah Nabimu, bagaimana?”
Jawab Muaz: “Pada ketika itu saya akan berijtihad tanpa bimbang sedikitpun”.
Mendengar jawab itu Nabi Muhammad saw meletakkan tangannya kedadanya dan berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq utusan Rasulullah, sehingga menenangkan hati Rasul Nya”.
(Hadits riwayat Imam Tirmidzi dan Abu Daud. Lihat kitab Sahih Tirmidzi juz, II halaman 68 – 69 dan Sunan Abu Daud, juz III halaman 303).

Faedah dari Hadith Mu’az Bin Jabal r.a.:
  1. Nabi saw mengizinkan sahabat berIJTIHAD
  2. IJTIHAD hanya di lakukan oleh orang yang sudah menguasai ilmu sepenuhnya akan AL QURAN DAN AS SUNNAH
  3. IJTIHAD hanya berlaku apabila tidak terdapat jawapan dari masalah yang timbul dari AL QURAN dan AS SUNNAH
  4. Nabi saw membenarkan orang ramai untuk berTAQLID kepada Saiyidina Mu’az r.a.
  5. Orang ramai di Yaman mengikut MAZHAB MU’AZ BIN JABAL r.a.
2. Sabda Nabi saw:

اَلْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ ْلأَنْبِيَاءِ

Ertinya: “ Ulama’ itu pewaris para Nabi a.s.” (HR Abu Daud)

Maka yang di katakan waris ialah ianya menanggung tugas amanah yang di pikul oleh para Nabi a.s. itu. Demikianlah ummat wajib mentaati mereka apa yang mereka sampaikan. Itulah yang telah dilakukan oleh para sahabat dan Tabiin dan mereka yang terdahulu yang berpegang kepada kepimpinan Ulama’ MUJTAHIDIN

DALIL IJMA’

Telah sepakat para sahabat dalam membenarkan tokoh-tokoh sahabat yang berilmu tinggi dalam hukum Syariat untuk memberi fatwa. Ummat yang ada pada saat itu tidak ada yang membantah akan perbuatan tokoh tokoh mereka itu. Bahkan orang awam mengikuti dengan apa yang telah mereka fatwakan, menunjukkan orang awam bermazhab dengan mazhab tokoh-tokoh ulama’ dikalangan mereka. Manakala Ulama’ para sahabat TIDAK ADA YANG ENGKAR PERKARA BERMAZHAB.Maka ini adalah IJMA’ SAHABAT MEMBENARKAN BERMAZHAB/BERTAQLID

Demikianlah pula dizaman Tabiin, berlaku seperti apa yang telah berlaku pada zaman sahabat, orang ramai tabiin mengikuti mazhab ulama’ ulama’ tabiin mereka, tanpa ada yang mengingkarinya. Maka ini adalah IJMA’ULAMA’ TABIIN MEMBENARKAN BERMAZHAB/ BERTAQLID.

Demikian juga ummat Islam setelah dari zaman Imam Mujtahid yang empat, orang awamnya BERTAQLID dengan salah satu mazhab dari mereka itu. Tidak timbul bantahan dari ulama’-ulama’ besar akan keadaan BERTAQLID dan BERMAZHAB, sehinggalah timbullah di akhir zaman ini yang menolak ummat Islam dari bermazhab dan bertaqlid.

إنالله و إنا إليه راجعون

DALIL ‘AQLI
1. Ummat Islam semakin hari semakin banyak lagi masalah yang baru yang mungkin belum pernah berlaku dalam zaman Nabi saw dan sahabat. Kalau kita menolak Bermazhab dan bertaqlid kepada ulama’ mujtahidin, dan hanya ingin berpandukan AL QURAN dan As SUNNAH sahaja, sudah tentu Ummat akan bertambah bingung dengan apa yang berlaku. Sudah setentunya mereka memerlukan mujtahidin yang boleh menghuraikan masalah itu, dan orang ramai mencukupi dengan bertaqlid kepada apa yang di ijtihadkan mujtahidin.

2. Kalau Agama Islam melarang ummatnya dari BERTAQLID dan BERMAZHAB, dan setiap orang mesti mengambilnya dari AL QURAN dan As SUNNAH, maka ini suatu bebanan yang tidak termampu dilaksanakan. Kerana tidak semua orang mampu membaca Al Quran apa lagi kalau nak memahaminya, dan ianya perlu untuk mempelajari banyak lagi ilmu-ilmu lain. Sedangkan Allah telah berfirman:

لاَ يُكَلِِّفُ اللّهُ نَفْسًا إلاَّ وُسْعَهَا

Allah tidak akan membebankan sesaorang melainkan sekadar kemampuannya.

3. Sudah menjadi SUNNATULLAH bahawa manusia yang dijadikanNYA itu berbeza-beza dari segala aspek, kekayaan, kekuatan kepandaian kebaikan, kejahatan dan seterusnya.

Mithalnya dalam bidang kedoktoran akan pasti ada TIGA GOLONGAN:
  1. Doktor yang bijak pandai, specialist, pakar, yang berpengalaman. Maka doktor ini pasti akan jadi tempat rujukan orang ramai, bahkan para doktor yang baru dan yang belum mahir akan merujuk kepadanya juga.
  2. Doktor yang baru lulus, atau yang belum mahir, atau yang belum berpengalaman. Walaupun ianya doktor berkelulusan, tetap ianya akan merujuk kepada doktor pakar yang lebih mahir dan pengalaman darinya. Namun kalau sakit sakit yang mudah mudah, boleh dirawatnya.
  3. Pesakit orang awam, yang sememangnya bukan ahli dalam ilmu kedoktoran. Walaupun mungkin dia telah belajar ilmu sains di sekolah, tetapi apabila dia jatuh sakit, pasti dia akan merujuk kepada doktor yang pakar lagi berpengalaman. Bahkan dia tidak akan cuba-cuba untuk merawat dirinya sendiri.
Demikianlah dalam bidang agama, manusia pasti terdapat TIGA GOLONGAN:
  1. MUJTAHID MUTLAQ, yang sudah sampai darjat IJTIHAD, yang sudah cukup ilmu dan pengalamannya. Yang mampu mengeluarkan hukum dari Al Quran dan As Sunnah, serta mampu berijtihad tanpa dibimbangi dan diragui. Menjadi tempat rujukan dan ikutan para ulama dan orang ramai. Seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hanbali.
  2. Ulama’ yang belum sampai darjat MUJTAHID MUTLAQ, maka mereka akan lebih selesa apabila mereka berpegang kepada mazhab ulama’ mujtahidin. Walaupun dirinya sudah memiliki tahap ilmu yang tinggi, namun menyedari bahawa ilmunya masih jauh lebih rendah dari apa yang telah dicapai oleh Imam-Imam MUJTAHIDIN. Mereka seperti yang telah dijelaskan dalam tajuk PEMBAHAGIAN MUJTAHIDIN.Ini termasuk Ustaz ustaz yang kelulusan dari universiti universiti Islam
  3. Orang Awam, yang sememangnya bukan ahli dalam bidang hukum Syariah. Walaupun ianya telah belajar bahasa arab, tafsir hadith. Tetapi menyedari ilmu yang ada jauh dari mencapai darjat ijtihad yang terendah, apa lagi kalau mereka yang tidak pernah mendalami ilmu agama. Sudah setentunya apabila menghadapi masalah agama ianya akan rujuk dan berpegang kepada orang yang tersangat alim, yang telah sampai darjat MUJTAHID MUTLAQ.
    Kalau ada orang awam seperti ini yang tidak mahu bertaqlid dan bermazhab kepada ulama’ mujtahidin. Nah, kenapa dalam bidang kedoktoran dia sanggup bayar ratusan bahkan ribuan dollar untuk mendapatkan rawatan doktor pakar, kenapa tidak dia buat obatnya sendiri?. Kalau dalam perkara jasmani kita cukup perihatin dan berjaga jaga, sedangkan kalau sihat pun akhirnya mati juga jasmani ini.

    Tetapi, kenapa apabila datang dalam hal agama , sungguh berani untuk berfatwa sendirian tanpa berpegang kepada ulama’ mujtahid. Jika tersilap pasti tidak akan diterima amal ibadah kita, dan tempatnya hanya ke neraka jahannam. Tidak kita merasa takut dengan azab Allah. Pastinya orang yang berbuat demikian, orang yang tidak cukup akal fikirannya, kerana orang yang berakal tidak akan mengadaikan nyawanya, apatah lagi akan akhiratnya.
4. Kalau Ummat Islam semuanya di bebankan agar belajar hingga boleh jadi ulama’ mujtahid, agar semua orang boleh mengambil hukum langsung dari Al Quran dan As Sunnah. Maka ini perkara mustahil, kerana tidak mungkin semua orang dapat mencapainya walaupun sekuat tenaga. Kerana akal manusia berbeza-beza kemampuannya, sama sahaja kita lihat anak kita yang belajar di sekolah hari ini. Walaupun sudah sekuat tenaga tidak semua yang mendapatkan semua, mata pelajarannya A.

Demikian juga, kalau semua ummat hanya tertumpu pada pelajaran agama, siapa pula yang akan menumpukan kepada pentadbiran, pembangunan, kedoktoran, kejuruteraan dan sebagai bagainya. Sudah pasti akan memporak-perandakan Negara Islam.

Sejarah telah mencatitkan apabila ummat Islam bersatu dalam aqidah dan pegangan bermazhab, tidak timbul konflik politik, maka ummat Islam bertambah kuat, bahkan menjadi kuasa pemerintah Dunia yang disegani. Ini terbukti dizaman pemerintahan Othmaniah. Tentera Islam sampai ke Eropah timur. Tetapi sebaliknya apabila ummat Islam sibuk dengan masalah khilafiah, Negara Negara Islam telah di jajah oleh Barat.

5. Tidak ada dari masalah-masalah agama yang perlu di ijtihadkan lagi, melainkan perkara perkara baru. Kerana semua perkara agama telah pun di ijtihadkan oleh ulama’ mujtahidin. Andai kata kalau ada orang membangkitkan sesuatu isu, dan dia tidak mahu bermazhab, tidak mahu bertaqlid kepada mana-mana Imam. Maka bila di lihat isu-isu tersebut, kita akan dapati isu-isu tersebut telah pun di ijtihadkan oleh Imam-Imam mujtahid yang terlebih dahulu.

Seperti masalah Batal Wudhu’ sentuh orang perempuan yang halal nikah. Kalau dia mengatakan yang ianya tidak mahu ikut mazhab Syafie, dan mengatakan tidak batal wudhu’ dalam perkara itu. Dan di bentangkan hadith hadithnya.

Jawapan kita ini, mazhab Imam Hanafi yang mengatakan TIDAK BATAL WUDHU’, dan dalil-dalil yang di datangkan semuanya adalah sandaran Mazhab Imam Hanafi. Jadi bukanlah satu perkara baru yang belum pernah di ijtihadkan.

Cukuplah sudah yang sedikit ini untuk mereka yang mencari kebenaran dengan inaf dan tawadhu’, mengenal akan kemampuan dirinya.

Telah benarlah apa yang telah disabdakan nabi saw:

رَحِمَ اللّهُ امْرَأً عَرَفَ قَدْرَ نَفْسِهِ

“Allah merahmati sesaorang yang mengetahui kadar kemampuan dirinya.”

BAHASAN KELIMA: BEBERAPA KEKELIRUAN DALAM MASALAH BERMAZHAB DAN PENJELASANNYA.

Terdapat banyak persoalan persoalan yang di timbulkan oleh golongan yang menolak prinsip BERMAZHAB. Kami datangkan disini sebahagiannya serta penjelasannya, antaranya:

PERTAMA: ITTIBA’

Mereka yang menolak BERMAZHAB membahagikan manusia kepada tiga: 1) Mujtahid, 2) Muqallid, dan 3) Muttabi’. Maka menyedari dirinya bukan mujtahid, tetapi tidak mahu di golongkan sebagai MUQALLID yang bertaqlid, maka mereka namakan dirinya sebagai MUTTABI’. Mereka mengatakan MUTTABI’ ialah seseorang yang melihat mana mana dalil yang lebeh kuat dan Hadith Hadith yang lebeh SOHIH, maka itulah yang akan mereka pegang tanpa BERTAQLID kepada mana mana mazhab.

JAWAPANNYA: Sebenarnya perbuatan mereka itu tidak ada beza dengan perbuatan MUQALLID dari segi perkataan dan perbuatan. Adapun persamaan kedua-duanya dari aspek bahasa ialah kedua-duanya bermakna MENGIKUT. Adapun persamaan kedua-duanya dari aspek perbuatan ialah kedua-duanya itu BUKAN MUJTAHID kerana tidak memenuhi syarat syarat IJTIHAD.

Tetapi pengakuan mereka mampu membezakan mana mana dalil yang lebeh kuat dari segi perawi hadith (rijal) dan dapat membezakan mana mana hadith yang lebeh kuat sohihnya. Maka ini sudah terjumlah dari pekerjaan MUJTAHID, bahkan mereka sudah lebeh dari Mujtahid, kerana mereka telah dapat membezakan kesohihan Hadith yang Mujtahid itu tidak dapat melakukannya. Maka ini MENYALAHI, kerana ianya belum memenuhi syarat syarat IJTIHAD.

Kalau katanya bahawa Hadith itu dikatakan lebeh Sohih kerana diriwayatkan oleh Imam Bukhari atau Imam Muslim.Maka sebenarnya dia telah jatuh dalam BERTAQLID kepada Imam Bukhari atau Muslim. Ini kalau dia mempelajari ilmu hadith dan sanad, kelulusan KULIAH SYARIAH atau KULIAH HADITH.

Kalau dia hanya orang AWAM, bila di tanya MAZHAB APA? Dengan bangga dia mengatakan “Saya tidak bermazhab!, Mazhab saya QURAN dan SUNNAH”. Tapi yang pelik, bahasa Arab pun tidak mahir. Makna Quran dan Hadith hanya di ambil dari buku buku terjemahan, Huraian hurainnya hanya diambil dari kitab kitab yang pengarangnya yang TIDAK BERMAZHAB. Jadi SEBENARNYA DIA TELAH MENGIKUT MAZHAB PENGARANG KITAB ITU!!

Maka dia cuba lari dari TAQLID, tapi dia jatuh dalam TAQLID. Dia cuba lari dari BERMAZHAB, tapi dia jatuh dalam BERMAZHAB.

KEDUA: Berpegang kepada QURAN dan SUNNAH lebeh selamat dari BERMAZHAB.

Kerana Quran dan Sunnah tidak ada SILAP, manakala Imam Imam Mazhab manusia yang tidak sunyi dari salah dan silap!!

JAWAPANNYA: Sememangnya Quran dan Sunnah tidak ada silap. Soalannya ulama’ MUJTAHIDIN mengambil hukum dari mana? Bukankah mereka mengambil dari Quran dan Sunnah? Jadi yang membezakannya apa? BEZANYA ialah cara memahami text Quran dan Sunnah itu!! Kalau sekarang kita memahami ayat Quran atau Hadith itu tidak sama seperti yang di fahami oleh sesaorang Mujtahid. Maka kita lihat siapakah yang terlebeh ahli dan lebeh lengkap ilmu bahasa Arabnya, balaghahnya, asbabun nuzulnya dan lain lain lagi, dari limu ilmu yang diperlukan untuk kita BERIJTIHAD.

Kalau kita bimbang Mujtahid yang telah lengkap ilmunya mungkin tersilap dalam memahami text Quran dan Hadith. Apakah kita begitu yakin yang fahaman kita lebeh TEPAT dan BENAR sepertimana yang dikehendaki Allah dan Rasul??

KETIGA: Imam Syafie telah berkata :
اذَا صَحَّ الْحَدِيْثُ فَهُوَ مَذْهَبِيْ

Apabila sesuatu Hadith itu Sohih, naka ianya adal Mazhabku

Inilah sifat Ulama’ Agong kita , lagi tinggi ilmunya lagi bertambah tawadhu’ orangnya. Walaupun sudah dikaji akan ilmu hadith, sebelum beliau meletakkan hukum, namun masih beliau tidak mengaku dirinya yang paling alim. Maka jika benar ada lagi hadith sohih yang mungkin beliau belum bertemu lagi, maka beliau terima hadith itu sebagai mazhabnya.

Namun kata kata ini di tujukan kepada ULAMA’-ULAMA’, BUKAN KEPADA ORANG AWAM. Sudah setentunya, kerana orang awam tidak mampu membezakan hadith sohih dengan Dhaif. Namun perkataan Imam Syafie itu tidak diatas UMUM, Kerana sebagai seorang Ulama’ yang mengkaji sumber hukum akan terlebih dahulu memeriksa selain dari kesohihan Hadith itu, apakah Hadith itu telah di mansukh atau Hadirh itu ada sebabnya, jika sudah hilang sebab, hilang hukumnya.

Maka orang awam tidak perlu merasa bimbang “Kenapa sudah ada hadith yang sohih, tapi fatwa mazhab itu tidak sama seperti dalam hadith itu?” Ini adalah kerana, walaupun Imam Syafie telah wafat lebih dari 1200 tahun hijrah, namun pengikut pengikut Imam Syafie yang terdiri dari Ulama’ yang tidak kurang ilmu mereka dalam bidang Hadith, Quran Bahasa Arab dan lain lain lagi, sudah pasti kalau ada yang perlu di perbetulkan , nescaya akan di perbetulkan. Cuba lihat antara ulama’ Mazhab Syafie seperti Imam Nawawi saorang pakar Hadith dan Bahasa Arab. Demikian juga Imam Ibnu Hajar Al Asqalani yang mensyarahkan kitab Hadith Imam Bukhari, Fathul Bari, yang menjadi rujukan Ulama’ dulu dan sekarang, beliau juga bermazhab Syafie’ dan lain lain yang banyak.

KEEMPAT: Ingin mengikut MAZHAB SALAFI, merupakan perkataan yang sering kita dengar dari golongan yang tidak mahu BERMAZHAB KEPADA 4 MAZHAB.

JAWAPANNYA: Sebenarnya TIDAK ADA MAZHAB SALAFI!! Kalau ada, siapakah pengasasnya? Apa kaedah mazhab ini dalam istinbath hukum? Apakah buku-buku rujukan MAZHAB SALAFI ini? Kalau yang mereka maksudkan MAZHAB SALAFI ialah Ulama’ di kurun yang 300 pertama, maka kesemua ulama’ Mujtahid Empat mazhab dalam Fiqah dan 2 Mazhab dalam bidang Aqidah adalah dari Ulama’ Salaf. Kerana mereka lahir dalam lengkongan 300 tahun pertama.

Bahkan Doktor Syeikh Sa’id Ramadhan Al Buuthi telah mengarang satu kitab yang bertajuk ”SALAFI SEBUAH ZAMAN SEJARAH BUKAN MAZHAB

BAHASAN KEENAM: NAMA NAMA ULAMA' YANG BERMAZHAB SYAFIE

Marilah kita mengambil iktibar, kalaulah Ulama’ Ulama’ besar yang menjadi rujukan ummat BERMAZHAB. Sudah setentunya HUKUM BERMAZHAB ADALAH WAJIB untuk selain MUJTAHID MUTLAQ. Diantara ulama’ ulama’ yang bermazhab Syafie ialah:

ULAMA’ HADITH MAZHAB SYAFIE
BUKHARI (194-256H) SAHIH BUKHARI
AT TIRMIDZI WAFAT 295H KITAB IKHTILAF AHLIS SALAT
AD DARIMI WAFAT 280H MASNAD DARIMI
ABU DAUD (202-275H) SUNAN ABU DAUD
NASAI (215-303H) KITAB HADIS SUNAN NASAI, KITAB MANASIK ,KITAB SUNAN AL KUBRA
DARUQUTNI WAFAT 385H KITAB AS SUNAN
BAIHAQI (384-458H) KITAB AHKAMUL QURAN, KITAB DA’AWAT, KITABUL ASRAR
AN NAWAWI ( 630 - 676H ) SYARAH SAHIH MUSLIM, RIYDHUS SALIHIN, MATAN AL ARBA’IN
IZZUDDIN ABDISSALAM ( 577 – 606H ) AL QAWAIDIL QUBRA, MAZAZUL QURAN,FATAWI AL MASRIYAH
IBNU DAQIQ ( 615 – 702 )
IBNU HAJAR AS QALANI ( 773- 852H ) FATHUL BARI ,BULUGHUL MURAM,TAHDZIBUTTAHAZIB
SAYUTI ( 849 – 911H ) TAFSIR JALALEIN,JAMI’ SAGHIR
QASTALANI WAFAT 923H AL MAWAHIBULLAD DUNIYAH, IRSYADUS SARI

ULAMA’ TAFSIR MAZHAB SYAFEI
AT-TABARI WAFAT 305H AL MUHARRAR NAZHAR, AL IFSAH FIL FIQH, FIL USUL
AR RAZI WAFAT 606H MANAQIB IMAM SYAFEI, AL MASHUL, TAFSIR MAFATIHUL GHAIB
IBNU KATHIR WAFAT 774H TAFSIR IBNU KATHIR

ULAMA’ SEJARAH MAZHAB SYAFEI
SYARASTANI WAFAT 548H AL MILAL WAN NIHAL, IRSYAD ILA AQAIDIL ‘IBAD, SYUBAHAT ARISTOTELES & IBNU SINA
IBNU ATHIR ( 544 – 606H ) AN NIHAYAH FI GHARIBUL HADITHWAL, ATHAR, AS SYAFEI SYARAH MASNAD SYAFEI
TAJUDDIN SUBKI WAFAT 771H TABAQATUS SYAFI’IYAH AL QUBRA, JAMUL JAWAMI, TABAQATUL WUSTA

ULAMA’ TASAWUF MAZHAB SYAFEI
AL JUNEID BAGHDAD WAFAT 298H
AL GHAZALI ( 450 – 505H ) IHYA ULUMUDDIN
SHEIKH ABD QADIR AL JALANI ( 471 – 561H ) SIRRUR ASRAR

Kitab Al Imam Ghazali Ihya' 'UlumuddinULAMA’ BAHASA ARAB MAZHAB SYAFEI
AL QAFFAL AL KABI ( 291 – 365 ) KITAB FI USULIL FIQHI
AL JURJAN WAFAT 392H AL WAKALAH
ASY SYIRAZI WAFAT 476H TANBIHAL MUHAZABAL LUMA’
AL BAGHAWI WAFAT 510H MAHABI HUSSANNAH

Nama-nama Ulama’ yang BERMAZHAB ASYA’IRAH (Abu Hasan Al Asy’ari) dalam AQIDAH/TAUHID Ahlus Sunnah Wal Jamaah

IMAM ABU BAKAR AL QAFFAL WAFAT 365H
IMAM ABU ISHAQ AL ASFARAINI WAFAT 411H
IMAM AL HAFIZH AL BAIHAQI WAFAT 458H
IMAMUL HARAMAIN AL JUWAINI WAFAT 460H
IMAM AL QASIM WAFAT 465H
IMAM AL BAQILANI WAFAT 403H
IMAM GHAZALI WAFAT 505H
IMAM FAKHRUDDIN AR RAZI WAFAT 606H
IMAM IZZUDDIN BIN ABDUSSALAM WAFAT 660H
SYEIKHUL ISLAM SYEIKH ABDULLAH AS SYARQAWI WAFAT 1227 H KITAB SYARQAWI
SYEKH IBRAHIM AL BAJURI WAFAT 1227 H KITAB TAHQIQUL MAQAM FI KIFAYATI, A’WAM & TUHFATUL MURID ALA, JAUHARATUT TAUHID
AL ALAMAH SYEIKH MUHAMMAD NAWAWI BANTAN WAFAT 1315H KITAB TAUHID DARARI
SYEIKH ZAINAL ABIDIN BIN MUHAMMAD AL FATHANI WAFAT KITAB AQIDATUN NAJIIN FI USHULIDDIN
SYEIKH HUSEIN BIN MUHAMMADAL JASAR THALABILISI WAFAT KITAB HUSHUNUL HAMIDIYAH
DLL

Semoga kajian rengkas yang di bentangkan ini dengan penuh kelemahan dan kekurangan dari hamba Allah yang faqir ini, akan dapat menghuraikan kekusutan dan menjelaskan kekeliruan, dan dapat MENGUKUH PEGANGAN JALAN YANG SELAMAT, jalan AHLUS SUNNAH WAL JEMAAH.

و الله اعلم

No comments:

Post a Comment