Tuesday, January 11, 2011

Mengapa Tidak Terus Minum Daripada Kendinya?


Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah
tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang
mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru
di sebuah pesantren di Indonesia.
Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika
memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar,
setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut
diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj
sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada
mereka untuk berbicara.
Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam
satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan
mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap
pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf ,
yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah menuduh bahawa para
ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya.
Benarlah kata para ulama :
Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita
semua. Kisahnya begini :
Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan
untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di
antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.
Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?
Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari
Kampung Seberang.
Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang
sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?
Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.
Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang
beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam
sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di
Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering
kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau
pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata
al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam
Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”
Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih
enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di
dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu
dan ini?”
Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari
daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam
al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan
penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi
pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak
Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,
Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?
Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.
Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga
perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang
dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga
si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?
Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .
Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua.
Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.
Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.
Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air
tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.
Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada
bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?
Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar
sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.
Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar
tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya
terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada
apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami
untuk mengambil dan memanfaatkannya.
Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan
al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu
ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi
mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil
daripada kitab Talmud atau Bible?
Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada
al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.
Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan
kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?
Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.
Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di
dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita
bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman
saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?
Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami
bahasa berbanding orang zaman sekarang.
Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita
semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada
seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita
mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada
siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan
penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika
mengeluarkan ilmu.
Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh
seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang
Imam tunggangi?
Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai
tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “
Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa
hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat,
mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku
bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah
taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah
di dalam memberikan jawapan”
Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab
persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam
majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang
daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu
datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai
untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana
aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”
Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak
mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”
Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza
dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah
mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.
Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat
memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .
Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan
membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment